Waktu Sekarang

Sabtu, 28 Julai 2007

Rangka teras strategik untuk pembangunan belia

KOTA SAMARAHAN, 27 Jul: Kerajaan merangka teras strategik untuk pembangunan belia negeri ini dengan mengorientasikan dasar dan program bersepadu.
Timbalan Presiden Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (Saberkas), Dato Sri Abang haji Johari Tun Abang Haji Openg berkata, teras strategik itu merangkumi program mengupayakan beliau untuk masa hadapan melalui peningkatan akses pendidikan dan latihan.
Selain itu, katanya, program dalam teras strategik itu juga menekankan peningkatan keupayaan dalam organisasi belia serta memupuk semangat persaingan di kalangan mereka (belia).
Menteri Perumahan itu menjelaskan, strategi lain terkandung dalam program tersebut ialah mengukuhkan rangka kerja perundangan dalam pembangunan belia di samping menggalakkan perpaduan negara serta integrasi nasional.
“Golongan belia kini semakin meningkat dengan purata 1.1 peratus setahun. Ini bermakna golongan belia akan mencapai peningkatan sebanyak 11.65 peratus menjelang 2010,” katanya.
Berucap pada perasmian program Rakan Muda Wawasan Desa IPT peringkat negeri di kampus UiTM di sini hari ini, Abang Johari berharap program itu mampu meningkatkan tahap pengetahuan serta membina pemikiran dan sikap positif di samping berkemahiran kepimpinan di kalangan belia.
Hadir sama ialah Pengarah UiTM, Dr. Jamil Hambali; Timbalan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Sarawak, Razali Mohamad dan Pegawai Daerah Samarahan, Mohd. Aini Wahab.
Beliau menjelaskan, program-program penyelidikan dan pembangunan serta penguasaan sains teknologi termasuk kemahiran perlu ada pada setiap golongan belia bagi membolehkan mereka membuat sesuatu yang baru.
“Pembangunan modal insan adalah pembangunan diri yang menyeluruh… justeru program strategik itu perlu merangkumi pelbagai aspek baik dari segi ilmu pengetahuan, kemahiran dan jati diri.
“Malah, golongan belia patut mengambil peluang untuk menambah ilmu serta menaiktaraf masing-masing bagi menentukan hala tuju sebenar masyarakat generasi muda,” katanya.
Abang Johari berkata usaha meningkatkan modal insan amatlah mencabar dan ia perlu dilakukan secara holistik dengan penglibatan dan komitmen tinggi golongan belia.
Program Rakan Muda Wawasan Desa IPT itu melibatkan penyertaan pelajar-pelajar dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) serta para belia di kampung-kampung terpilih di sini.

Utusan Borneo 28/07/2007

Tiada ulasan: