Sabtu, 28 Julai 2007
Misi 2057 Akan Digubal Sebagai Kesinambungan Wawasan 2020, Kata PM
KUALA LUMPUR, 12 Mac 2007(Bernama) -- Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) bersetuju supaya misi baru dikenali sebagai Misi 2057 digubal bagi meneruskan kesinambungan pembangunan negara daripada pelbagai aspek sejak kemerdekaan dan selepas pencapaian Wawasan 2020.Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata ketetapan itu dibuat dalam mesyuarat hari ini supaya misi yang dikenali sebagai Misi 2057 itu dapat dijadikan panduan pembangunan untuk tempoh 50 tahun akan datang."Kita membincangkan apa yang akan kita lakukan seterusnya, kalau kita hendak pandang ke hadapan kita perlu pandang ke 2057, 50 tahun daripada sekarang. Kerana pejuang-pejuang kemerdekaan apabila merdeka pada 1957, dalam fikiran mereka mesti ada banyak perkara yang mahu dilaksanakan untuk masa depan kerana kemerdekaan bukan hanya untuk mereka tetapi untuk generasi akan datang."Maka kita juga sebagai kerajaan yang hari ini masih wujud, segar, kuat dan berpengaruh perlu mengambil kesempatan untuk pandang ke hadapan, apa lagi daripada sekarang untuk 50 tahun akan datang," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat berkenaan di sini hari ini.Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN bagaimanapun menegaskan bahawa dalam menggubal misi 2057, kerajaan tidak sesekali akan mengetepikan Wawasan 2020 yang disifatkan sebagai satu misi yang perlu dicapai matlamatnya."Itu (Wawasan 2020) sudah dijelaskan berulang kali termasuk dalam buku Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), itu tidak diketepikan, ia tetap akan dilaksanakan, tetapi selepas itu apa lagi yang patut ditambah harapan kita," katanya.Abdullah berkata apa yang diharapkan oleh kerajaan sekarang adalah untuk merangka satu misi dengan mengambil kira perubahan-perubahan semasa dan kepentingannya kepada generasi muda agar mereka dapat memainkan peranan yang lebih baik dalam menjana suasana pembangunan negara bagi mencapai kejayaan yang lebih tinggi.Bagaimanapun, katanya kerajaan akan sentiasa memastikan bahawa faktor budaya, semangat muhibbah, perpaduan, muafakat serta toleransi dalam agama dititik berat dan diteruskan sebagai nilai tambah kepada kejayaan yang akan diperolehi oleh negara."Perhatian bersungguh-sungguh juga perlu diberikan kepada pembangunan modal insan, jiwa bangsa dan pembangunan yang tidak meninggalkan ciri-ciri kebudayaan dan kesenian yang menunjukkan rupa bangsa kita. Ini patut menjadi ingatan kepada generasi akan datang," katanya.Abdullah berkata dalam merangka misi jangka panjang itu, kerajaan mahu mambawa bersama seluruh rakyat termasuk parti pembangkang, kaum wanita, golongan muda, golongan profesional dan badan-badan bukan kerajaan untuk berbincang dan memberikan pandangan mereka demi masa hadapan negara."50 tahun lagi bukan terlalu jauh sampai kita tidak boleh katakan sesuatu yang kita hendak lihat, ini merupakan satu kesinambungan kepada pencapaian matlamat Wawasan 2020, tiap-tiap pencapaian yang kita perolehi tahun ini akan menjadi asas kepada usaha yang lebih hebat untuk mencapai kejayaan yang lebih besar tahun akan datang."Itulah proses pembangunan yang kita wujudkan di Malaysia sejak Parti Perikatan dan kemudian BN memerintah negara ini...kita sentiasa berusaha ke arah menambah nilai dan meningkat kejayaan, itu yang menjadi pegangan kita," katanya.Sehubungan itu, katanya rakyat termasuk anggota parti dapat bersama-sama membantu dan melahirkan pandangan dan hasrat untuk masa hadapan.Sumber -- BERNAMA
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan