Berita Harian 21 Nov 2007 http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Wednesday/EdisiWilayah/20071121091639/Article/index_html
Laporan M Hifzuddin Ikhsan dan Norma Mullie
Tambahan peruntukan pembangunan meningkat sehingga 10 peratus berbanding bajet tahun lalu KUCHING: Kerajaan negeri akan memperuntukkan sejumlah RM4 bilion bagi pelbagai projek pembangunan dan perbelanjaan dalam bajet negeri 2008 dengan tumpuan kepada proses transformasi Sarawak kepada negeri maju dan pembekal utama tenaga di rantau ini. Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, ketika membentangkan bajet berkenaan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak ke-19 di Dewan Undangan Negeri, kelmarin berkata, daripada jumlah itu, 70 peratus atau RM2.86 bilion akan digunakan untuk pembangunan negeri pada tahun depan.
"Tambahan peruntukan pembangunan meningkat sehingga 10 peratus berbanding bajet tahun lalu, manakala peruntukan bagi mengurus tahun depan berjumlah RM1.19 bilion," katanya. Taib berkata, bagi memastikan pembangunan saksama dan menjana ekonomi negeri, tujuh strategi pelaksanaan akan diperkenal bagi menjamin ketulusan semua program pembangunan. "Sebanyak 70 peratus atau RM2,865 juta dari peruntukan bajet akan digunakan untuk program pembangunan bagi memastikan dana mencukupi bagi projek di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).
"Ia dapat memastikan rakyat menerima semua perkhidmatan kerajaan secara seimbang; memastikan tidak berlaku defisit dalam bajet tahun depan; memastikan perbelanjaan dikawal; memastikan pengurusan kewangan yang cekap oleh kerajaan negeri dan memastikan sektor swasta menjadi pemangkin perkembangan ekonomi," katanya. Taib berkata, lebih RM3.55 bilion dijangka dapat diperoleh kerajaan negeri tahun depan dengan 37 peratus daripadanya dijana dari sektor minyak dan gas hasil kutipan cukai dan keuntungan jualan yang dijangka melebihi RM1.2 bilion. "Sejumlah RM894 juta dijangka diperoleh dari keuntungan kegiatan pelaburan dengan kerajaan negeri akan terus melakukan kajian mengenal pasti peluang pelaburan yang lebih cerah pada masa depan. "Kegiatan perhutanan pula dijangka mampu menyumbang RM641 juta hasil bayaran royalti, premium dan tarif pembalakan dengan pendapatan ini boleh bertahan bagi tempoh beberapa tahun lagi hasil dari polisi kawalan hutan," katanya.
Taib berkata, pada masa yang sama sejumlah RM4 bilion dijangka akan dibelanjakan dengan RM2.3 bilion daripadanya diguna untuk membiayai projek pembangunan di seluruh Sarawak dengan lebihannya untuk menampung kos operasi. "Peningkatan kos operasi sebanyak 9 peratus pada tahun ini adalah berikutan peningkatan pembayaran gaji kakitangan, menampung kos perkhidmatan, pembayaran graduiti dan pencen kakitangan serta pembelian aset baru. "Dengan bajet yang sebegini besar, saya mengingatkan semua jabatan dan agensi kerajaan negeri supaya mengawal setiap belanjawan mereka agar tidak berlaku kebocoran dan penurunan produktiviti," katanya. Bajet 2008 Sarawak juga dijangka mampu menjana lebihan berjumlah RM61 juta dengan ia dianggap sebagai kejayaan kerajaan negeri menyusun perancangan masa depan yang lebih agresif dan penting. "Semua projek pembangunan akan dibiaya hasil suntikan kewangan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri sendiri mengikut perancangan di dalam RMK-9. "Selain itu, Wilayah Pembangunan Ekonomi Koridor Sarawak (Recoda) yang akan dilancar sedikit masa lagi bukan saja memberi faedah kepada negara malah kepada penduduk hasil dari naik taraf infrastruktur sekitar dan lebih peluang pekerjaan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan