Waktu Sekarang

Ahad, 5 Ogos 2007

Pemuda BN Jayakan Matlamat Satu Misi Dalam “Himpunan Pemuda Merdeka”, 26 Ogos Ini

Oleh S.A Najmuddin

Kuala Lumpur -- Lebih 4000 ahli Pemuda Barisan Nasional (BN) seluruh negara akan berhimpun di Pusat Persidangan Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 26 Ogos ini dalam program “Himpunan Pemuda Merdeka” bagi meraikan dan menghayati kemerdekaan negara ke-50.
Timbalan Pengerusi Pemuda BN, Khairy Jamaluddin berkata selain menyemarakkan semangat kemerdekaan di kalangan kepimpinan Pemuda BN di seluruh peringkat, program itu juga merupakan satu bentuk sokongan pergerakan itu bagi meneruskan kesinambungan perjuangan dan kerjasama antara kaum untuk mempertahankan dan mengisi kemerdekaan negara.
Jelas beliau menerusi perhimpunan berkenaan seluruh Pemuda BN akan melafazkan ikrar terhadap pembangunan Malaysia dengan satu matlamat iaitu meletakkan satu visi dan satu misi serta tanggungjawab yang dikongsi bersama di dalam rakan-rakan parti kompenen.
Menurut beliau lagi perhimpunan itu juga bertujuan untuk menyatakan sokongan pergerakan itu terhadap misi 2057 iaitu misi yang digariskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang bukan sahaja mahu melihat sebuah negara yang maju tetapi yang terbilang di kalangan negara-negara yang gemilang.
"Pada majlis ini nanti, Pengerusi Pemuda BN, Datuk Seri Hishammuddin Hussein sendiri akan mengetuai ikrar untuk melafazakan sokongan kita ke arah misi tersebut. Ini adalah sumbangan kita ke arah misi 2057.
"Ini adalah permulaan kita untuk mencorakkan masa depan kerana Pemuda BN menganggap misi 2057 ini merupakan misi yang akan dipikul oleh generasi kita, Pemuda BN dan ini masa terbaik untuk kita memulakan gerakan ke arah mencapai misi berkenaan", katanya.
Beliau berkata demikian kepada laman webPemuda selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Induk dan Pelaksana Himpunan Pemuda Merdeka di sini, hari ini. Turut hadir Setiausaha Pemuda BN, Datuk Abd Rahman Dahlan, Bendahari, Datuk Abd Hamid Nazahar dan pemimpin Pemuda parti komponen.
Tambah Khairy lagi, program tersebut yang akan dilancarkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi turut dihadiri seluruh pemimpin utama parti komponen BN, kepimpinan Pemuda dan ahli Pemuda BN lain.
Selain jelas beliau dalam program tersebut Pemuda BN juga akan turut melancarkan jentera pilihan rayanya bagi menghadapi pilihanraya umum akan datang.
"Ini adalah kali pertama kita mengumpulkan semua pemimpin Pemuda BN untuk kita lafaz dan sama-sama mencapai kata sepakat dengan slogan ’Sedia Gempur’ untuk kita mulakan jentera pilihan raya di semua peringkat di seluruh tanah air daripada Sabah hingga ke Johor.
"Ini merupakan satu tujuan politik yang berkait dengan sambutan kemerdekaan kerana kita percaya kemerdekaan masih perlu dipelihara, masih perlu diberi pengisian dan pengisian ini hanya dapat diberi oleh parti BN, generasi muda dalam BN. Sebab itu kita cantumkan pelancaran jentera sedia gempur ini dengan Himpunan Pemuda Merdeka", ujarnya.
Pada majlis yang sama beliau turut memberitahu Pemuda BN akan melibatkan diri dalam tiga sambutan utama sempena hari kemerdekaan negara ke 50 yang dianjurkan kerajaan menerusi Kementerian Kesenian, Warisan dan Warisan.
Tiga majlis tersebut jelas beliau ialah Pelancaran Bulan Kemerdekaan yang diadakan di Melaka pada 17 Ogos, Sambutan Ambang Merdeka di Dataran Merdeka pada 30 Ogos dan Perayaan Kemerdekaan di Stadium Merdeka pada 31 Ogos ini.
"Apa yang lebih menarik penglibatan Pemuda UMNO pada tiga acara berkenaan bakal mengimbas semula detik-detik negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.
"Pemuda BN akan memakai baju dan seluar putih untuk sama-sama mengimbas kembali apa yang berlaku pada 1957 serta melihat apa yg berlaku pada zaman Tunku Abdul Rahman.
"Peranan besar yang akan dimainkan Pemuda ini merupakan satu pengiktirafan kepada Pemuda BN dan peranan kita dalam sejarah Malaysia iaitu bagaimanagenerasi muda telah menyumbang ke arah tuntutan kemerdekaan pada 1957", katanya.

Tiada ulasan: