KOTA BHARU: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu semua pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) supaya memberi tumpuan kepada usaha pembangunan seluruh negara dan persediaan menghadapi pilihan raya, bukannya pemilihan parti.Perdana Menteri berkata, kejayaan dalam pilihan raya umum akan datang bukan diasaskan kepada percaturan politik peribadi dalam parti, sebaliknya berdasarkan kejayaan kerajaan memberi khidmat kepada rakyat.
“Tiap-tiap kali bila mai dua tahun lagi (pemilihan parti), mulalah penyakit macam ni. Kita tak ada pemilihan parti, lepas pilihan raya nanti baru kita cakap pasal itu, sekarang berilah perhatian pada kerja dan sokongan kepada kerajaan untuk menjayakan pembangunan.“Semua parti boleh kata dia kuat, tetapi sokongan rakyat adalah kepada parti yang terbukti kebolehan, kemampuan dan memenuhi apa juga dikehendaki untuk pembangunan negara dan rakyat. Itu yang rakyat nak tahu,” katanya.
Beliau memberitahu sidang media pada program terakhirnya sempena lawatan kerja ke Kelantan iaitu perasmian Operasi dan Pelancaran Pelan Pembangunan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di Kampus Taman Bendahara, di sini, semalam.Turut hadir Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapha Mohamed; Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Annuar Musa dan Naib Canselor UMK, Prof Ir Dr Zainai Mohamed.Abdullah berkata, sama ada pilihan raya umum akan datang masih jauh atau kian dekat, tumpuan kepada usaha dan kerja melaksanakan pembangunan di seluruh negara mesti berjalan serta diteruskan seperti biasa.“Kita bukan buat pelan pembangunan negara untuk menghadapi pilihan raya sebaliknya ia tanggungjawab untuk kita tunaikan apa yang dijanjikan. Sepanjang kita memerintah, kita melakukan banyak pembangunan, kita bukan kerajaan tidur, bukan tak buat kerja.“Selain itu, kita teruskan usaha meningkatkan lagi tahap pembangunan dan khidmat yang kita beri kerana kita tak perlu menunggu untuk memulakan kerja sebab ia proses yang sentiasa berjalan,” katanya.Perdana Menteri berkata, soal agihan kerusi di kalangan parti komponen BN juga hanya dibincangkan ketika hampir pilihan raya atau selepas tarikhnya diumumkan bagi membolehkan jentera pilihan raya bekerja bersungguh-sungguh, berkempen dan membuat penerangan.Mengulas hasil lawatan kerjanya ke Kelantan, beliau berkata, rakyat negeri ini memang mengalu-alukan projek pembangunan dibawa Kerajaan Pusat kerana memberi kebaikan serta manfaat kepada mereka.Abdullah berkata, soal sama ada penerimaan itu akan diterjemahkan mereka sebagai undi untuk BN pada pilihan raya umum akan datang tidak dapat dipastikan tetapi seperti biasa, jika nak menghadapi pilihan raya, parti kita akan bekerja bersungguh-sungguh.“Kita belum fikir untuk membuat manifesto berasingan bagi Kelantan, tetapi yang pentingnya, BN akan bercakap aspek pembangunan yang kita sudah buat. Kita bercakap pasal pembangunan, masa depan rakyat, cita-cita, tanggungjawab untuk melaksanakan apa yang baik,” katanya.Abdullah juga berkata, beliau tidak peduli keyakinan disuarakan Pas untuk mempertahankan Kelantan dan merampas kembali Terengganu pada pilihan raya umum akan datang.“Biarlah Pas dengan keyakinannya,” katanya ringkas sambil mengarahkan jentera Umno dan BN Kelantan terus diperkuatkan lagi, walaupun ia sudah dianggap kuat ketika ini.
Sumber : Berita Harian 04/08/2007
Tiada ulasan:
Catat Ulasan